si cantik & si kacak

Friday, June 10, 2011

ekspresi mata lebih dramatik

SERING KALI kita melihat seorang wanita begitu cantik matanya, galak dan bercahaya. Baik lelaki mahu pun wanita pasti akan memandang berkali-kali tanpa rasa jemu. Ada yang bertanya apakah rahsianya? Adakah pada solekan atau penampilannya yang membuatkan dia menyerlah berbanding biasa?

Ramai mengakui solekan mata menjadi bahagian terpenting ketika menghias wajah. Malah, ia mengambil masa yang agak lama selain memerlukan penelitian agar solekan kelihatan berbeza. Selain pemakaian celak dan maskara, bulu mata palsu menjadi kaedah terkini dan popular dalam solekan. Sama ada untuk acara kasual, makan malam sehingga majlis perkahwinan pemakaiannya menjadi gaya semasa sehinggakan tanpa bulu mata palsu seseorang tidak senang duduk kerana merasakan belum cukup lengkap berdandan. 


Dulu pemakaian bulu mata palsu bertujuan memperlihatkan bulu mata kelihatan lebih panjang dan tebal. Tetapi kini bulu mata palsu menjadi sebahagian daripada alat solek sama seperti celak, bedak dan gincu. Memakai bulu mata palsu membuat penampilan mata lebih berekspresi dan dramatik. Walaupun nampak seakan mudah, memakai bulu mata palsu memerlukan teknik yang betul. Ini kerana bahagian mata agak sensitif dan memerlukan ketelitian ketika melekatkan pada mata.


Sebaiknya minta jurusolek atau mereka yang mahir untuk memakaikan bulu mata palsu pada mata anda atau sekiranya anda ingin mengenakannya sendiri, berlatih terlebih dulu bagi mendapatkan kesan sempurna. Latihan yang kerap akan membantu pemasangan bulu mata lebih cepat dan rapi. Bulu mata akan berada pada kedudukan yang betul iaitu sebaris dengan bulu mata anda sehinggakan tidak nampak cacat celanya. Namun pastikan anda tidak memakainya untuk tempoh yang lama kerana ini akan membuatkan mata anda mudah cedera atau sakit. 


Berikut beberapa panduan yang boleh digunakan ketika memakai bulu mata palsu: 
 

Sesuaikan ukuran bulu mata palsu...
Setiap orang memiliki ukuran mata berbeza-beza. Ada yang kecil, sederhana dan lebar. Oleh itu sebelum membeli bulu mata palsu pastikan anda mengukur terlebih dulu panjang bulu mata bersesuaian. Kemudian, rapatkan bulu mata palsu pada kelopak mata untuk mengetahui panjang bulu mata yang sesuai. Setelah itu, gunting bulu mata palsu sekiranya melebihi panjang kelopak mata.
 

Solekan mata...
Pastikan anda menyolek terlebih dulu bahagian mata dengan solekan pembayang mata mengikut warna sesuai diikuti dengan pemakaian celak. Selepas itu sepit bulu mata dengan penyepit bulu mata bagi memastikan bulu mata palsu melekat sempurna. Selepas itu lekatkan bulu mata palsu pada bahagian mata anda.
 

Gam bulu mata palsu...
Selepas anda mengetahui panjang bulu mata palsu yang ingin dilekatkan ambil gam (khusus untuk bulu mata palsu) dan sapukan pada bulu mata berkenaan. Jangan sapu gam terlalu banyak kerana ini akan menyebabkan bulu mata melekat antara satu sama lain.
 

Lekatkan pada mata...
Selepas itu lekatkan pada bahagian kelopak mata. Lakukan dengan berhati-hati supaya bulu mata melekat dengan baik. Rapikan agar bulu mata kelihatan semula jadi dan melekat sempurna. Biarkan 30 saat supaya gam benar-benar kering.
 

Sempurnakan solekan mata...
Setelah posisi bulu mata palsu sesuai dengan mata anda. Sapukan maskara untuk membuat bulu mata kelihatan lentik dan sapukan celak pada garis atas bulu mata untuk menutupi warna gam. Ini supaya bulu mata asli dan bulu mata palsu kelihatan bersatu dengan sempurna. 

Bulu mata mengikut jenis mata: 
 

Mata sepet atau tidak berkelopak... Bagi anda yang memiliki mata sepet atau tidak berkelopak, pilih bulu mata palsu dengan helaian rapat, panjang dan semula jadi. Bulu mata ini akan memberi kesan mata lebih besar.
 

Mata cembung... 
Jika anda memiliki mata cembung, pilih bulu mata palsu yang tebal dan panjang agar mata kelihatan lebih dalam.
 

Mata kecil...
Jika anda memiliki mata kecil, gunakan bulu mata palsu dengan helaian panjang ini supaya bulu mata anda kelihatan lebih panjang.
 

Mata turun...
Mata yang turun sesuai memakai bulu mata palsu yang memiliki helaian panjang di sudut luar. Bentuk bulu mata palsu ini akan memberikan kesan mata lebih besar.
 

Mata dalam (cengkung)...
Mata yang terlalu cengkung, sesuai menggunakan bulu mata palsu dengan ketebalan semula jadi.
 

Mata besar atau bulat...
Bagi yang memiliki mata besar, elakkan bulu mata palsu dengan helaian tebal. Pilih bulu mata palsu dengan helaian panjang di sudut luar agar bulu mata kelihatan lebih panjang.


credit to *cik zaty 

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum..
Tinggalkan Comment Anda Di Sini Yer..
Timaseh!!